Golongan Belia Sebuyau Usahakan Tanaman, Tingkat Pendapatan

AHAD, 21 FEBRUARI 2021

SEBUYAU: Golongan belia di kawasan Sebuyau digalakkan melibatkan diri dalam bidang pertanian yang kini sudah menjadi satu perniagaan yang mampu memberi pulangan lumayan.

Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, Jawatankuasa Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sebuyau bersama golongan belia di kawasan berkenaan akan mengusahakan tanaman di situ.

Menurutnya, antara tanaman yang telah dicadangkan seperti tanaman jagung, labu dan terung asam.

“Lawatan kerja ini adalah bagi meninjau tapak dan pemeriksaan cadangan projek tanaman yang akan diusahakan kelak.

“Antara kampung yang terlibat terdiri ialah Kampung Baru, Kampung Masjid, Kampung Hulu dan Kampung Seberang,” katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak pertanian di sini pada Sabtu.

Datuk Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau menambah, projek tanaman itu dibangunkan menerusi inisiatif beliau sendiri.

“Tujuan pertanian ini dirancang dan diadakan adalah bagi menarik minat golongan belia dan menggalakkan penglibatan untuk bertani serta mengisi aktiviti masa lapang mereka.

“Projek tersebut juga menjadi satu usaha untuk memanfaatkan tanah yang disediakan, sekali gus menyumbang kepada perolehan ekonomi pada masa akan datang,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment