Lebih 800 Pelitup Muka Dikutip Di Daerah Miri Untuk Dilupuskan

AHAD, 21 FEBRUARI 2021

MIRI: Penganjuran Program Virtual “Go Green – Community On Alert” anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri telah berjaya mengumpul lebih 800 pelitup muka pada Sabtu. 

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata penganjuran ini sangat baik bagi menyedarkan masyarakat supaya tidak membuang pelitup muka sesuka hati. 

“Kita berharap dengan adanya program seperti ini akan menyedarkan masyarakat supaya jangan membuang pelitup muka sesuka hati yang telah digunakan bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan dalam Program “Go Green – Community On Alert” yang diadakan di Bangunan AADK Daerah Miri pada Sabtu.

Sementara itu, Pengerusi Skuad Antidadah Miri, Azlan Hamdani berkata aktiviti mengutip pelitup muka ini telah diadakan serentak pada jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi secara virtual individu dan berkumpulan terhad 2 hingga 5 orang peserta sahaja di kawasan masing-masing di sekitar Bandaraya Miri.

“Program ini terhad kepada 60 orang peserta dalam kalangan ahli Skuad Antidadah, Miri sempena sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2021.

“Dalam tempoh dua jam, para peserta telah mengumpul lebih 800 pelitup muka dan kesemuanya dihantar ke Pejabat AADK Daerah Miri dan diserahkan kepada Majlis Bandar Miri (MBM) untuk tujuan pembuangan dan pelupusan,” katanya. 

Program di akhiri dengan majlis penutupan, penyampaian hadiah dan cenderahati yang disempurnakan Kaunselor Warziedea Ahmad yang mewakili Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri.

Hadir sama Ketua Daerah AADK Daerah Miri Mazlan Jikran, Pengerusi SDG Kaunselor Karambir Singh, Timbalan Pengerusi Skuad Antidadah, Miri Ras Syazwan Rasli dan bekas ahli PEMADAM, Miri Norudin Tuah. -EDISI UKAS

Share

add comment