Pendaftaran Vaksinasi COVID-19 Menerusi Aplikasi MySejahtera, Perkhidmatan Imigresen Boleh Dibuat Menerusi Laman Web

AHAD, 21 FEBRUARI 2021

MIRI: Orang ramai khususnya penduduk di Bahagian Miri diminta untuk memuat turun aplikasi MySejahtera bagi pendaftaran Vaksinasi COVID-19.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Ahad berkata, temujanji bagi pemberian vaksin akan diberi menerusi aplikasi MySejahtera dan penerima vaksin perlu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada masa yang telah ditetapkan. 

“Vaksin COVID-19 dijangka tiba di Miri pada 6 Mac 2021 dan pemberian vaksin ini akan dilakukan melalui tiga fasa dengan Fasa I membabitkan petugas barisan hadapan yang akan dilakukan bermula Mac sehingga April 2021. 

“Manakala, Fasa II dan Fasa III yang dikhususkan untuk 80 peratus populasi di Miri yang berumur 18 tahun ke atas akan diberikan bermula April 2021 sehingga Ogos 2021 di tujuh fasiliti pemberian vaksin yang telah ditetapkan untuk semua daerah dalam Bahagian Miri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBB Miri pada Ahad. 

Sementara itu, bagi bagi yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera atau tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet adalah diminta untuk mengemukakan permohonan vaksinasi COVID-19 melalui empat saluran berikut Pejabat-Pejabat Daerah, Ketua Kaum iaitu Ketua Kampung, Kapitan dan Tuai Rumah yang akan dibantu oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing dan Jawatankuasa Penduduk (RC) (Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Marudi).

Selain itu boleh juga mendaftar di Klinik Kesihatan yang berdekatan (bagi kawasan pedalaman sahaja) pada waktu pejabat, Isnin hingga Jumaat seperti Klinik Kesihatan Ulu Teru, Klinik Kesihatan Long San, Klinik Kesihatan Long Pillah, Klinik Kesihatan Long Naah, Klinik Kesihatan Long Miri, Klinik Kesihatan Long Bedian, Klinik Kesihatan Long Kevok, Klinik Kesihatan Long Bemang, Klinik Kesihatan Long Jekitan, Klinik Kesihatan Long Jeeh, Klinik Kesihatan Long Moh dan Klinik Kesihatan Long Lellang. 

Ini termasuk juga Klinik Kesihatan Bario, Klinik Kesihatan Lio Mato, Klinik Kesihatan Long Banga, Klinik Kesihatan Pa’ Dallih, Klinik Kesihatan Taman Negara Mulu, Klinik Kesihatan Long Panai, Klinik Kesihatan Long Seridan, Klinik Kesihatan Long Loyang, Klinik Kesihatan Long Teran, Klinik Kesihatan Long Teru dan Klinik Kesihatan Long Jegan. 

Dalam perkembangan lain, Datuk Kim Shin yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menjelaskan penduduk di Bahagian Miri boleh membuat permohonan passport secara dalam talian di portal Jabatan Imigresen iaitu melalui laman sesawang https://www.imi.gov.my susulan daripada penutupan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Walau bagaimanapun, permohonan hanyalah untuk kes-kes yang mendesak (emergency case) sahaja yang perlu mendapat tapisan Jabatan Imigresen terlebih dahulu (rujuk SOP PKPB Negeri Sarawak yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara pada 13 Februari 2021 mengenai Senarai Aktiviti Yang Tidak Dibenarkan – Negative List). 

Di samping itu, pelanggan juga boleh membuat pertanyaan mengenai hal-hal imigresen dalam Portal Imigresen di bawah tajuk: Sistem Pertanyaan Online (STO). -EDISI UKAS

Share

add comment