Rakyat Boleh Buat Pendaftaran Vaksin COVID-19 Menerusi Aplikasi MySejahtera

AHAD, 21 FEBRUARI 2021

KUCHING: Rakyat di negeri ini kini boleh membuat pendaftaran bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, vaksin itu adalah percuma dan pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera ataupun berkunjung ke hospital, klinik dan pejabat daerah terdekat.

“Saya berharap semua rakyat akan mendaftarkan diri untuk vaksinasi yang dijangka bermula di negeri ini menjelang akhir bulan ini dan yang dibahagikan kepada tiga fasa” katanya selepas melawat pusat operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Maong dan di Taman Univista di Kota Samarahan pada Sabtu.

Selain itu beliau turut memberi amaran agar tidak mempercayai orang yang tidak dikenali yang mendakwa boleh membantu atau menghantar borang pendaftaran.

“Jangan berikan kad pengenalan anda kepada mereka kerana takut berlaku penyalahgunaan,” katanya.

Datuk Amar Douglas yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berharap rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan di media sosial mengenai bahaya vaksin dan menolaknya.

“Bagi mereka yang berada di luar bandar jika memerlukan lebih banyak penjelasan, mereka boleh berunding dengan pemimpin tempatan mereka,” katanya

Mengulas mengenai kunjungan beliau ke dua pusat operasi PKPD itu, beliau menyifatkan operasi tersebut berjalan lancar.

Dilaporkan bermula 17 Februari sehingga 2 Mac 2021 arahan PKPD tersebut melibatkan seramai 375 orang daripada 65 rumah dan 60 unit pangsapuri di Taman Univista dan kira-kira 829 orang daripada 182 keluarga di Kampung Sungai Maong.

Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.-EDISI UKAS

Share

add comment