RM500,000 Diperuntuk Bina Pasar Tani Kampung Jerijih

AHAD, 21 FEBRUARI 2021


JERIJIH: Kerajaan Sarawak menerusi Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) telah memperuntukkan hampir RM500,000 bagi pembinaan Pasar Tani Kampung Jerijih di sini.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datu Len Talif Salleh, memberitahu projek berkenaan mengambil masa hanya tiga bulan untuk disiapkan bermula pada 17 Julai 2020 hingga 16 Oktober 2020.

“Kita mendapat peruntukan daripada MDMD untuk membangunkan tempat penduduk Kampung Jerijih berniaga dan kita beri kelulusan kepada pelatih operator di sini untuk terus berniaga,” katanya selepas penyerahan permit dari MDMD kepada peniaga di Tapak Pasar Tani Kampung Jerijih pada Sabtu.

Tambah beliau, pihaknya akan terus membangun kawasan tersebut untuk menarik ramai pengunjung seterusnya meningkatkan pendapatan penduduk Jerijih.

Di pasar itu, dua buah gerai dikhaskan untuk penjualan makanan dan minuman manakala tiga buah untuk barangan kering seperti kuih muih, hasil tani dan kraftangan produk kampung.

Antara kemudahan lain yang disediakan ialah tandas, tempat letak kereta dan enam unit lampu solar di sekitar tapak gerai.
Turut hadir ialah Setiausaha MDMD Ahmadjerry Hashim, Pemanca Morshidi Moris, Penghulu dan Ketua-Ketua Kaum. – EDISI UKAS

Share

add comment