85 Orang Terima Manfaat MRP-PPRMS Di DUN Bukit Kota Sepanjang Tahun 2020

ISNIN, 22 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Seramai 85 orang telah mendapat manfaat daripada Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) Pusat Khidmat DUN Bukit Kota sepanjang tahun 2020. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail telah meluangkan masa melawat ke tujuh buah rumah yang telah dibaiki menerusi program tersebut pada Ahad. 

Rumah mereka ini terletak di Kampung Pahlawan, Kampung Benuas, Kampung Limpaki, Kampung Pabahanan, Kampung Tantaya Baru, Kampung Sungai Poyan dan tidak ketinggalan penerima di Kampung Pengkalan Rejab.

Program ini menelan belanja hampir RM1 juta melalui geran khas Kerajaan GPS Sarawak yang disalurkan kepada Jawatankuasa MRP-PPRMS Pusat Khidmat ADUN tempatan. 

Dalam lawatan itu juga, Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut meninjau tapak Projek Bina Baharu Dewan Kampung Sungai Poyan Fasa 1 yang akan dibangunkan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM250,000 pada tahun ini. 

Turut diluluskan peruntukan untuk membaik pulih sistem lampu limpah dan bilik tandas gelanggang futsal di kampung berkenaan.

Beliau juga meninjau Projek Naik Taraf Dewan Kampung Pengkalan Rejab berjumlah RM30,000 yang disalurkan melalui peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) tahun 2020 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pengkalan Rejab untuk menaik taraf dewan tersebut dengan kaedah gotong-royong.

Turut hadir Penghulu Latip Tujoh, Penghulu Yusop Dollah, Ketua Kampung Ketua Kampung Tuna, Benuas dan Gumaya Ismail Nayan, Ketua Kampung Limpaki Montel Berahim, Ketua Kampung Pabahanan Latip Sabli, Ketua Kampung Buangsiol Jupar Ali Matkasih, Ketua Kampung Sungai Poyan Sahrin Aji dan Ketua Kampung Pengkalan Rejab Jailani Osman. -EDISI UKAS

Share

add comment