Industri Kraftangan Sarawak Catat RM1.5 Juta Jualan Produk Kraf

ISNIN, 22 FEBRUARI 2021

KUCHING: Industri kraf di Sarawak merekodkan jualan pelbagai produk kraf yang memberangsangkan dengan nilai mencecah RM 1.5 juta dari tahun 2020 sehingga Januari 2021.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri berkata, ini adalah satu pencapaian yang menggalakkan dalam Industri Kraf Sarawak meskipun berdepan situasi mencabar akibat COVID – 19.

“Untuk E-Kraf Bazaar, kita ada 140 usahawan kraf dan nilai jualan dari April 2020 ke Januari 2021, adalah sebanyak RM 1.5 juta.

“Manakala untuk Craft On The Go, ada 86 usahawan kraf. MYCRAFTSHOPPE pula ada 39 usahawan kraf wanita dan keseluruhan produk ada 696 jumlah produk. Ini prestasi untuk Sarawak sahaja, dari situ kita lihat ia amat menggalakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) cawangan Sarawak di Kuching pada Isnin.

Lawatan tersebut katanya bertujuan melihat sendiri aktiviti demonstrasi produk kraf oleh Usahawan Kraf Negeri Sarawak seperti pembuatan perabut taman dari kayu belian, pembuatan sarung dan mata parang, penghasilan batik linut dan eco print serta penghasilan pelbagai produk kraf dari anyaman rotan iaitu tikar kelasah dan bakul pusak. – EDISI UKAS

Share

add comment