Kejayaan Pasukan KIK Lands Tahai Q Diraikan Dalam Majlis Makan Tengah Hari

ISNIN, 22 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Kejayaan Pasukan ‘KIK Lands Tahai Q’ Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Limbang yang memenangi Anugerah Inovasi Ketua Menteri Sarawak pada tiga tahun berturut-turut iaitu 2018, 2019 dan 2020 telah diraikan dalam satu majlis makan tengah hari yang diadakan di Hotel Purnama pada Sabtu. 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata beliau berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan JTS sekaligus menyumbang kepada peningkatan perkhidmatan penyampaian kepada masyarakat. 

“Saya amat berbangga dengan pencapaian Pasukan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) JTS Limbang kerana setiap kali mengadakan Hari Inovasi dan Kreativiti pasukan ini sering menyumbang sesuatu untuk meningkatkan lagi secara keseluruhannya sistem penyampaian perkhidmatan JTS kepada masyarakat.

“Contohnya kita telah cipta sebuah aplikasi yang dinamakan LASIS yang mana kita boleh mengetahui maklumat-maklumat tentang tanah kita melalui aplikasi tersebut dan juga membantu memudahkan urusan kita dengan pihak JTS.

“Pelbagai ciptaan telah dihasilkan melalui inovasi jabatan ini bukan sahaja untuk penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tetapi juga peralatan yang digunakan dalam kerja-kerja penyukatan tanah,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Tengah Hari Bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Sabtu. 

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak juga mengucapkan tahniah kepada JTS yang turut mencapai kejayaan bersama Pejabat Daerah Limbang dalam Hari Inovasi dan Kreativiti itu. 

“Apa yang penting adalah semangat kerjasama dan berpasukan haruslah menjadi budaya kita dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita.

“Pencapaian Jabatan Tanah dan Survei dalam KIK antara yang jauh ke hadapan berbanding agensi-agensi lain, saya berharap ia dapat mempermudahkan urusan rakyat dan juga dengan agensi-agensi lain dengan jabatan ini,” ujarnya. 

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latip, wakil Residen Bahagian Limbang Aspalela Shahmoni, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi. -EDISI UKAS

Share

add comment