Kelewatan Pembinaan Jambatan Batang Paloh Tidak Dapat Dielak, Akan Diatasi Segera

ISNIN, 22 FEBRUARI 2021

TANJONG MANIS: Masalah kelewatan pembinaan Jambatan Batang Paloh akan diatasi dengan segera oleh pihak kontraktor.

Menurut Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab, pihak kontraktor akan menambah sekurang-kurangnya 50 pekerja mahir termasuk menambah mesin dan peralatan di tapak projek selain bekerja lebih masa bagi mengurangkan kelewatan tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia bagaimanapun berkata kelewatan projek tersebut tidak dapat dielakkan ekoran keadaan cuaca tidak menentu selain beberapa masalah di luar jangkaan dihadapi pihak kontraktor di tapak projek.

“Sehingga 25 Januari 2021, kemajuan di tapak sebenar sebanyak 21.38 peratus berbanding jadual 30.89 peratus. Di sini kita nampak ada kelewatan iaitu 9.51 peratus atau bersamaan dengan 95 hari.

“Kelewatan ini mengambil kira keadaan cuaca yang terjadi beberapa minggu yang lepas dan juga disebabkan ‘unforeseen circumstances’ yang dihadapi kontraktor di mana mereka menemui perkara tidak diduga dalam paip semasa membuat ‘piling’ yang perlu mengambil masa untuk mencuci paip tersebut.

“Kita rasa puas hati dengan penerangan dan penjelasan diberi oleh pihak kontraktor dan berharap kejayan mereka untuk mengurangkan kelewatan ini berlaku dalam beberapa bulan akan datang,” katanya ketika ditemuramah selepas mengadakan lawatan ke tapak projek itu pada Isnin bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol.

Menurut Yusuf, jambatan tersebut amat diperlukan oleh penduduk di kawasan itu kerana mereka tidak lagi perlu menggunakan feri dan membantu mempercepatkan urusan harian.

Sementara itu, Abdullah yang juga Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), berharap pembinaan Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Lassa dapat disiapkan mengikut jadual bagi membolehkan pembangunan yang dirancang di kawasan itu dapat diteruskan.

“Harapan kami berdua dan penduduk sekitar ini agar Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Lassa dapat disiapkan dan pembangunan yang dirancang seterusnya dapat dijalankan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pihak pengurusan kerja di tapak pembinaan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa agar tidak berlaku penularan wabak COVID-19 di tapak projek berkenaan.

Semasa lawatan, Abdullah dan Yusuf turut diberi taklimat oleh pihak kontraktor mengenai perkembangan projek berkenaan.

Hadir sama wakil Residen Bahagian Mukah Petrone Benedict Sunggoh, Jurutera JKR Bahagian Mukah Abdul Talib Jarni, Pegawai Daerah Daro Bujang Rahman Seli dan wakil Pegawai Daerah Tanjung Manis Saifulbahari Alwi. – EDISI UKAS

Share

add comment