Ahli Parlimen Limbang Zahir Rasa Simpati Di Atas Kejadian Banjir Berlaku Baru-Baru Ini

SELASA, 23 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBB) telah menyebabkan tidak semua kawasan yang terjejas banjir dapat dilawati. 

Perkara ini dimaklumkan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah yang juga Ahli Parlimen Limbang semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan dan bertemu dengan penduduk yang terjejas banjir minggu lepas baru-baru ini. 

Katanya, beliau tidak dapat pergi dan melawat ke kawasan terjejas semasa bencana banjir berlaku disebabkan pematuhan SOP pandemik wabak COVID-19.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan rasa simpati terhadap nasib penduduk di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir yang berlaku dan meminta supaya terus bersabar dalam menghadapi dugaan ini. 

Sementara itu, Ketua Kampung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pengkalan Jawa John Sapik berkata, kejadian banjir kali ini adalah yang kelima berlaku pada tahun ini.

Paras air sampai mencecah ke tahap 4 kaki dan terdapat rumah penduduk kampung telah dimasuki air.

Kejadian banjir yang berlaku turut merosakkan hasil tanaman dan ternakan penduduk kampung serta menyebabkan jalan perhubungan terputus akibat ditenggelami air. 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pegawai Tugas-Tugas Khas Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Faris Hasli, Pemanca Jun Sillah, Penghulu Lalam Sambat, Ketua Kampung Julain Injan, Ketua Kampung John Sapik dan Ketua Kampung Juhari Ugal. -EDISI UKAS

Share

add comment