Pengurusan Sekolah Dan Ibu Bapa Mainkan Peranan Penting Dalam Mencapai Kecemerlangan Pendidikan Anak-Anak

SELASA, 23 FEBRUARI 2021

KUCHING: Proses pendidikan pada hari ini semakin hari semakin mencabar dalam menghasilkan modal insan yang hebat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, selain kepakaran dan standard yang tinggi serta profesionalisme di kalangan guru-guru, pengurusan sekolah juga turut memainkan peranan penting. 

“Mengambil inisiatif itu, kerajaan telah memberi fokus kepada subjek teknikal seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM). 

“Begitu juga dengan pembelajaran Bahasa Inggeris yang kini menjadi suatu keperluan dalam subjek Sains dan Metematik selain penguasaan Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah. 

“Selain itu, penggunaan teknologi digital juga adalah perlu selari dengan keadaan persekitaran hari ini yang banyak menggunakan komputer, internet mahupun telefon pintar untuk pengajaran dan pembelajaran,” katanya. 

Beliau yang ditemui selepas Penyerahan Dana Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tabuan Hilir baru-baru ini menambah, untuk memastikan agenda ini tercapai ianya memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk pengurusan sekolah dan ibu bapa. 

“Suasana persekitaran yang kondusif sangat diperlukan untuk pastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah. 

“Ini termasuklah dengan penggunaan teknologi terkini, kaedah pengajaran dan pembelajaran dan keperluan internet yang mampu diadaptasikan murid-murid dalam era teknologi hari ini.

“Justeru, sokongan pengurusan sekolah dan ibu bapa sangat diperlukan untuk pastikan murid-murid menerima pengajaran dan pembelajaran yang sempurna dan berkesan,” tambahnya. 

Pada majlis itu, Dr Hazland telah menyampaikan Dana Tahunan PIBG SK Tabuan Hilir berjumlah RM10,000 yang diterima Yang Dipertua PIBG SK Tabuan Hilir Jaafar Dollah. -EDISI UKAS

Share

add comment