Projek Naik Taraf Jalan Kampung Tanjung Poting-Tanjung Bowang-Senibong Akan Bermula

SELASA, 23 FEBRUARI 2021

BAU: Projek naik taraf Jalan Kampung Tanjung Poting, Kampung Tanjung Bowang dan Kampung Senibong di kawasan Singai akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, projek tersebut telah dimohon pada tahun 2016 namun terpaksa berdepan dengan kekangan peralihan kuasa pentadbiran kerajaan persekutuan sebelum ini.

Bagaimanapun ujarnya, beliau bersyukur kerana projek naik taraf jalan berkenaan dapat diteruskan selepas kerajaan Perikatan Nasional menerajui kerajaan pusat.

“Sebenarnya sebelum itu sudah ada perancangan dan itulah masalah yang dihadapi kenapa projek itu mengambil masa hampir lima tahun untuk dilakukan atau diteruskan.

“Disebabkan dua tahun ditangguh maka itulah sebabnya projek ini dimulakan pada tahun ini (2021),” katanya semasa majlis penyerahan cek pampasan bagi projek naik taraf jalan Kampung Tanjung Poting, Kampung Tanjung Bowang dan Kampung Senibong pada Isnin.

Dalam majlis itu, seramai 99 orang penerima menerima bayaran pampasan tanah sebanyak RM1.76 juta, manakala empat lagi pakej akan dibayar kemudian oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Turut hadir, Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kuching, Alfian Bawi.

Dato Henry menambah, projek jalan tersebut kelak akan memudahkan pergerakan penduduk selain mengelak banjir berlaku dengan adanya jalan yang dinaik taraf.

Sementara itu, beliau berharap penduduk yang belum menerima pampasan tanah agar bersabar dan terus memberi kerjasama dengan pihak berkaitan. -EDISI UKAS

Share

add comment