Projek RTP SK Pulau Melayu Siap Lebih Awal, RM926,800 Laksana 10 Projek RTP Di Kampung Melayu Sejak 2016

SELASA, 23 FEBRUARI 2021

MIRI: Projek Pembinaan Bumbung dan Tapak Serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Melayu yang merupakan salah satu Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Piasau bernilai RM100,000 yang sepatutnya siap pada 8 Julai 2021 telah berjaya disiapkan empat bulan lebih awal.

Menurut Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata beliau berasa gembira di atas siapnya projek ini lebih awal daripada tarikh sebenar bagi membolehkan murid-murid menikmati kemudahan apabil sesi persekolahan dibuka pada 1 Mac nanti. 

“Saya berasa gembira kerana pihak kontraktor berjaya menyiapkan projek pada  hari ini, 22 Februari ini. Sepatutnya projek ini dijangka akan siap pada Julai 2021. 

“Siapnya projek ini yang mengambil masa empat bulan untuk disiapkan adalah suatu tindakan yang baik bagi kemudahan murid-murid yang akan bersekolah pada 1 Mac nanti,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyaksikan penyerahan projek siap kepada SK Pulau Melayu oleh kontraktor terbabit pada Isnin. 

Selepas menyaksikan penyerahan projek tersebut, Datuk Sebastian turut melawat Projek RTP di Surau Sinar Islam, Kampung Melayu Miri. 

Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau menjelaskan sehingga kini sebanyak RM926,800 telah diperuntukkan bagi melaksanakan 10 Projek RTP DUN Piasau di Kampung Melayu. 

Antara Projek-Projek RTP DUN Piasau Di Kampung Melayu Penambahbaikan Dewan Masyarakat (Balai Raya) RTP 2016 RM80,000 Penambaikan Dewan Masyarakat (Balai Raya) RTP 2017 RM190,800, Pembinaan Gelanggang Bola Sepak RTP 2017 RM212,000, Naik Taraf Surau Sinar Islam RTP 2017 RM53,000 dan Naik Taraf Padang Futsal RTP 2018 RM53,000. 

Projek lain yang dilaksanakan di Kampung Melayu ialah Naik Taraf Masjid Nur Hijrah RTP 2018 RM50,000, Penambahbaikan SK Pulau Melayu Miri RTP 2018 RM53,000, Membina Tandas Dewan Masyarakat Kampung Pulau Melayu RTP 2019 RM50,000, Pembinaan Dinding Pagar Surau Sinar Islam, Kampung Pulau Melayu RTP 2020 RM85,000 dan Pembinaan Bumbung/Tapak Serbagunan SK Pulau Melayu RTP 2020 RM100,000. 

Hadir sama Pegawai jabatan Kerja Raya (JKR) Zainulariffin Zainurin,  Penolong Kanan Pengetua SK Pulau Melayu Cikgu Laing, Penghulu Leonard Fong, Penghulu Samad dan Ketua Kampung Drahaman Sahat. -EDISI UKAS

Share

add comment