Pusat Kebudayaan Bisaya Perlu Dinaik Taraf Dan Tambah Baik Untuk Keselesaan Dan Tingkatkan Sosioekonomi Penduduk Tempatan

SELASA, 23 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Fasiliti Pusat Kebudayaan Bisaya yang terletak di Kampung Batu Danau perlu tambah baik dan dinaik taraf. 

Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latip berkata, ini bagi memastikan bangunan ini akan lebih cantik, selesa dan menjadi tarikan kepada pengunjung selain membantu penduduk setempat untuk menjana ekonomi melalui aktiviti berniaga. 

Katanya semasa meninjau keadaan di Pusat Kebudayaan Bisaya pada Ahad.

Antara cadangan untuk menambahbaik fasiliti di kawasan tersebut ialah pembinaan tempat meletak kenderaan, menambah baik sistem perparitan, pembinaan tempat duduk dan projek landskap. 

Pusat Kebudayaan Bisaya ini merupakan tempat komuniti Bisaya meraikan Pesta Adau Babulang pada setiap tahun dan menjadi tumpuan seluruh komuniti Bisaya serta masyarakat setempat untuk bersama-sama meraikan pelbagai aktiviti dan permainan tradisonal komuniti Bisaya pada awal bulan Jun setiap tahun.

Bagaimanapun, rutin dan aktiviti keramaian ini tidak dapat dilaksanakan pada tahun lepas dan tahun ini disebabkan penularan wabak pandemik COVID-19.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Jurutera NRDA Abang Hishamudin Abang Othman, Pegawai Khas ADUN Batu Danau  Jimmy Ngindang Bau, Hali Majlis Daerah Limbang Kaunselor Johny Sawing, Ketua Pemuda PBB Kaunselor Elvis ak Mathew Bungsu dan Ketua Kaum Julian Injan.-EDISI UKAS

Share

add comment