Perbincangan Lanjut Cari Jalan Penyelesaian Terbaik Bina Jambatan Gantung Rumah Mual Bau

SELASA, 23 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Projek Jambatan Gantung Rumah Mual Bau, Kampung Ensungai masih belum dapat dilaksanakan atas beberapa faktor. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang berkata, beliau bersama Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Abdul Latip akan mengadakan perbincangan lanjut dan kajian bersama agensi-agensi berkaitan berhubung kaedah dan jalan penyelesaian terbaik dalam merealisasikan pembinaan projek berkenaan. 

Menurutnya, ini kerana masih terdapat beberapa isu berbangkit mengenai projek ini antaranya tapak, reka bentuk, kos dan bahan untuk pembinaan projek mengikut skop kerja yang ditetapkan oleh agensi teknikal.

“Projek ini amat diharapkan penduduk kampung yang selama ini menyeberangi sungai menggunakan bot dan perahu jika hendak ke jalan raya utama dan ke kawasan kebun masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Jambatan Gantung Rumah Mual Bau, Kampung Ensungai pada Ahad. 

Dalam masa yang sama, turut dilawati Projek Waterfront Pekan Medamit dan Projek High level Water Tank Kampung Lubok Tuan. 

Hadir sama, Jurutera NRDA Abang Hishamudin Abang Othman, Pegawai Khas ADUN Batu Danau, Jimmy Ngindang Bau dan Ahli Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Johny Sawing. -EDISI UKAS

Share

add comment