MOTAC Fokus Angkat Tempat Baru Miliki Nilai Pelancongan, Seni Dan Budaya

SABTU, 27 FEBRUARI 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan terus memberi perhatian kepada setiap kawasan dan tempat yang mempunyai nilai dan daya tarikan pelancongan, seni dan budaya untuk diangkat sebagai produk pelancongan baharu yang boleh diketengahkan.

Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, antara langkah yang diambil ialah dengan memastikan keperluan ke atas pembangunan infrastruktur diberi keutamaan yang dilakukan menerusi aktiviti turun padang untuk mengenalpasti tempat-tempat yang mempunyai berpotensi itu.

Beliau menambah, dengan cara ini juga ia dapat membantu mempromosikan tempat-tempat menarik dalam negara ini yang mungkin belum diterokai orang ramai.

“Ini adalah satu produk pelancongan juga untuk kita di MOTAC kerana dengan kita mempromosikan ini memberi peluang kepada orang yang tidak pernah melihat produk-produk Sarawak atau Sabah, mereka boleh datang ke sini menikmati, melihat sendiri dan merasainya di sini,” katanya semasa melakukan kunjungan santai di Pasar Borneo Seri Kembangan, Selangor pada Sabtu.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pasar Borneo Seri Kembangan, Nelson Entap berharap MOTAC dapat menyokong usaha mereka untuk memperkenalkan Sarawak kepada masyarakat di seluruh negara ini.

“Apabila ada tetamu yang terhormat seperti ini datang, kami rasa berbangga kerana ini akan mempromosikan lagi Pasar Borneo kerana ini adalah objektif kami untuk memberitahu semua warga Malaysia bahawa ada pasar Borneo di Semenanjung di Seri Kembangan,” kata Nelson lagi.

Seorang pensyarah universiti swasta di Kuala Lumpur yang ditemubual berkata, beliau menjadikan aktiviti menjual barangan Sarawak sebagai hobi hujung minggu di samping mendapat kenalan baru dari kampung halaman.

”Apa yang kami jual di sini ialah makanan dari Sarawak seperti Salai, Sago dan buah-buahan dari Sabah dan Sarawak. Kami sangat bersyukur kerana setiap minggu purata jualan dalam RM1,300 hingga ke RM1,800 sehari. Semenjak bulan lepas makin ramai yang datang.”

Turut sama dalam kunjungan santai tersebut ialah Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Dr Noor Zari Hamat, Pengerusi Tourism Malaysia, Dato’ Seri Ramlan Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Dato’ Sri Abdul Khani Daud dan Ketua Pengarah Kraftangan, Ibrahim Ismail.-EDISI UKAS

Share

add comment