Guna Dron Pantau Kawasan Kerap Kebakaran – Datuk Lee

ISNIN, 1 MAC 2021

MIRI: Beberapa bulan akan datang, Bahagian Miri akan mengalami musim panas dan kering yang menyebabkan berlakunya kebakaran hutan dan jerebu seperti yang berlaku sebelum ini. 

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin menggesa jabatan dan agensi kerajaan terlibat di Bahagian Miri untuk segera memulakan persiapan bagi menghadapi masalah kebakaran terbuka di Kuala Baram, Tudan dan Permyjaya yang meliputi sebahagian besar kawasan tanah gambut. 

“Saya telah mengarahkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Miri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Miri melakukan pemantauan secara kerap dengan menggunakan teknologi dron yang dilengkapi pembesar dengan ‘Thermal Image ‘dan speaker untuk memberi amaran bagi memantau kawasan yang kerap berlaku kebakaran.

“Selain itu, notis amaran dan kompaun kepada pemilik tanah yang melakukan tindakan pengawalan tanah masing-masing termasuk jagaan ‘fire break’ dan melakukan pembakaran secara terbuka.

“Begitu juga mewujudkan Pos Kawalan Pencegahan Awal Kebakaran yang terdiri daripada petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berdasarkan syif di lokasi strategi iaitu tiga di Kuala Baram dan satu di Menara Tudan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengetuai rombongan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri ke Menara Tinjau Tudan Miri pada Ahad. 

Dalam perkembangan sama, Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bahagian Miri memeriksa semua kemudahan dan peralatan seperti telaga tiup air bawah tanah (tube well) dan ‘check dam’ supaya dapat beroperasi dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) melakukan kerja-kerja penyenggaraan Menara Pantau Tudan termasuk mengecat semula menara, pemasangan lampu dan memperbaiki dinding simen yang retak.

Hadir sama Pemangku Residen Miri merangkap Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof dan beberapa wakil jabatan dan agensi kerajaan. -EDISI UKAS

Share

add comment