Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan Sarawak Bersama Membangunkan Daerah Lawas Demi Kesejahteraan Rakyat

ISNIN, 1 MAC 2021

LAWAS: Pembangunan di Daerah Lawas sentiasa dititikberatkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak. 

Timbalan Menteri II, Pembangunan Luar Bandar Malaysia Dato’ Henry Sum Agong berkata ini dapat dilihat menerusi beberapa projek pembangunan yang dilaksanakan kedua-dua kerajaan untuk pastikan rakyat di Daerah Lawas terus menikmati pembangunan bersama.

“Sebanyak RM10 juta telah diperuntukan bagi melaksanakan projek pembangunan di Daerah Lawas antaranya Jalan Perhubungan Desa (JPD) yang melibatkan dua buah kampung iaitu Long Sukang dan Punang Berayung serta menghubung Sekolah Kebangsaan (SK) Long Tukon yang menelan kos sebanyak RM1.5 juta. 

“Selain itu, Projek Perumahan Rumah Termiskin (PPRT) yang berjumlah 200 buah rumah telah diluluskan, dengan kesemua projek ini telah diserahkan kepada Giat MARA di bawah agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Begitu juga dengan peruntukan bagi membangunkan dewan dan pemasangan lampu yang berjumlah RM1 juta dan projek penyalaian Ikan Tahai yang turut melibatkan peruntukan RM1 juta,” katanya. 

Dalam sidang media mengenai Status Projek Pembangunan Di Daerah Lawas di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada Sabtu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lawas menjelaskan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA)  yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak adalah bertujuan mempercepatkan pembangunan di Bahagian Limbang keseluruhannya. 

Hadir sama Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Pembangunan Luar Bandar Mohd Fadzil Azma Mat Said, Temenggong Kading Silo, Penghulu Davies Parang Udan dan wakil-wakil media. -EDISI UKAS

Share

add comment