Aktiviti Pemberian Vaksin Fasa 1 Barisan Hadapan KKM Dan Bukan KKM Di Miri Bermula 6 Mac Ini

SELASA, 2 MAC 2021

MIRI: Aktiviti pemberian vaksin Fasa 1 kepada Barisan Hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bukan KKM akan bermula jam 3.00 petang di Dewan Eastwood dan Dewan Dato Permaisuri, Permyjaya pada Sabtu ini. 

Perkara ini disahkan Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Isnin selepas menghadiri mesyuarat secara zoom dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin. 

Jelas Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak, pemberian dua dos vaksin dengan selang 21 hari antara dos pertama dan dos kedua dijangka akan tamat pada minggu pertama bulan April 2021.

Aktiviti pemberian vaksin untuk kategori Barisan Hadapan akan dilaksanakan serentak secara berjadual dan melalui temu janji di 6 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bahagian Miri.

Sebanyak dua PPV dikhususkan untuk Barisan Hadapan kategori Perubatan KKM iaitu Hospital Miri dan Hospital Marudi manakala 4 PPV lagi dikhususkan untuk Barisan Hadapan Kesihatan Awam KKM dan Bukan-KKM iaitu Dewan Eastwood, Dewan Dato Permaisuri Permyjaya, Dewan Suarah Marudi dan Dewan Masyarakat Bekenu.

Sementara itu, bagi pemberian vaksinasi Fasa 2 kepada masyarakat umum berisiko tinggi seperti warga emas, penyakit kronik dan sebagainya adalah pada bulan April 2021 yang akan dimaklumkan secara rasmi pada waktu yang terdekat. -EDISI UKAS

Share

add comment