Bas Elektrik Kuching Metro Mula Beroperasi Esok, Bas Elektronik Awam Percuma Pertama Di Malaysia

SELASA, 2 MAC 2021

KUCHING: Satu lagi kejayaan bersejarah dilakar Sarawak apabila menjadi negeri pertama di Malaysia memiliki bas awam percuma yang beroperasi dengan menggunakan tenaga elektrik.

Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebanyak empat unit bas elektrik tersebut akan beroperasi esok, 3 Mac 2021 bermula dari Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

“Dengan kemudahan empat buah bas yang akan beroperasi esok hari dna permulaanya, sekitar Kuching dan akan singgah ke tempat yang menarik di Kuching sehingga ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh untuk sesiapa yang berminat kehidupan liar yang terdapat di sana,” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Bas Bandar Elektrik (e-Bas) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Selasa, Menteri Belia Dan Sukan itu berkata, perkhidmatan bas elektrik tersebut adalah selari dengan dasar Kerajaan Negeri untuk memfokuskan kepada pembangunan lestari.

Tambahnya, ia juga merupakan usaha kerajaan negeri untuk memberi keselesaan kepada para pengguna sama ada orang tempatan atau pelancong supaya mereka boleh pergi ke tempat-tempat menarik di sini selain memastikan persekitaran sentiasa bersih kerana bas tersebut menggunakan sumber tenaga elektrik.

“Jadi ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk memberi keselesaan kepada pengguna yang terdapat di Sarawak dan untuk pengunjung supaya mereka boleh pegi ke tempat yang menarik tanpa perlu membayar.

“Selain daripada itu, ia juga merupakan usaha kerajaan negeri untuk memastikan persekitaran sentiasa bersih kerana bas-bas ini adalah menggunakan sumber tenaga elektrik,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan HENZ Pacific Sdn Bhd, Henry Lai, memberitahu bas elektrik baharu tersebut mempunyai ketahanan bateri yang agak berbeza dan lebih maju berbanding yang digunakan bas elektrik biasa.

Jelas beliau, bas tersebut dipertingkatkan dengan sistem penyejukan pada bateri bagi memanjangkan jangka hayat bateri di mana ia boleh diguna selama 5 tahun hingga 10 tahun sebelum dikitar semula.

Pelbagai kemudahan turut disediakan dalam bas tersebut seperti sistem automasi pengumuman hentian bas, kaunter video penumpang,  sistem kawalan penyiaran kandungan tepat masa, kemudahan kerusi roda, WiFi percuma, kamera litar tertutup (CCTV) dan ruangan khusus tempat letak basikal lipat.-EDISI UKAS

Share

add comment