Dana AFF Bantu IKS Jana Pendapatan Khususnya Ketika Menghadapi Pandemik COVID-19

SELASA, 2 MAC 2021

LIMBANG: Program Agriculture Facilitation Fund (AFF) yang mula diagihkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota sejak 2019 dijangka akan diteruskan pada tahun ini. 

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Kerajaan Sarawak telah memperuntukan RM361,000 pada tahun 2019 manakala tahun 2020 sebanyak RM371,000 bagi membantu pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS). 

“Mereka yang terlibat dalam Agro Makanan ini adalah mereka yang mengusahakan IKS. 

“Bantuan yang kita berikan kepada mereka adalah dalam bentuk input, bukan dalam bentuk tunai seperti mesin-mesin dan peralatan-peralatan yang diperlukan.

“Adakalanya juga kita membuat rumah iaitu rumah tempat mereka mengusahakan produk IKS mereka. 

“Saya percaya dana ini memberikan manfaat yang banyak kepada pengusaha-pengusaha ini lebih-lebih lagi pada masa kita menghadapi pandemik COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas Penyerahan Insentif Pertanian Di Bawah Program AFF di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Limbang pada Isnin. 

Tambah Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, untuk tahun 2019 seramai 22 orang penerima Insentif Pertanian AFF manakala tahun 2020 ada seramai 23 orang yang mana kebanyakannya adalah wanita.

Hadir sama Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Jakaria Rambli, Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Amirul Fikri Jemali, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Limbang Christopher Dawat Anur, Pengurus Besar PPK Limbang Michael Misau Beng dan Pengerusi ALP PPK Limbang Tuai Rumah Ugak Sanggau. -EDISI UKAS

Share

add comment