Dasar Baharu Penambahbaikan SPS Dan SPK Diperkenalkan, 18 Penduduk Terima Cek Pampasan Berjumlah RM686,225.40

SELASA, 2 MAC 2021

LAWAS: Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan dasar baharu terhadap  penambahbaikan spesifikasi dan komponen intrastruktur asas di dalam Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK). 

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dasar baharu ini membolehkan rumah-rumah yang terlibat dalam kedua-dua skim ini akan lebih tersusun dan mempunyai kemudahan infrastruktur yang lebih baik. 

“Mana-mana Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) yang sama saya sudah mengemukakan beberapa tempat dan untuk yang baru kita tambah baik lagi spesifikasinya. 

“Jadi, jalan-jalan raya berturap, parit bersimen, diadakan bekalan elektrik dan air, dan ditembok tanah. Jadi, kosnya secara purata untuk satu lot dalam lebih RM100,000 dan ini semua ditanggung oleh Kerajaan Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Lesen Penduduk Sementara (TOL) dan Cek Pampasan Tanah dan Perasmian Pejabat Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang (Cawangan Lawas) pada Isnin.

Dalam majlis itu, seramai 18 orang penerima menerima cek pampasan yang berjumlah RM686,225.40 selepas pengambilan tanah mereka bagi memberi ruang kepada pembinaan jalan raya dari Kampung Punang ke Sungai Bangat yang pastinya akan mengubah Kampung Sungai Bangat Lawas menjadi destinasi pelancongan dan riadah pada masa akan datang. 

Jalan raya tersebut bertaraf R1 ini telah mula dibina oleh Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dengan kos berjumlah RM7.8 juta dengan jarak 2.5 KM. 

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus@ Paulu Gumbang, Pengarah NRDA Datu Ubaidilah Abdul Latif, Timbalan Residen Bahagian Limbang Datu Ubaidilah Abdul Latif, Timbalan (Pengurusan) Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi. -EDISI UKAS

Share

add comment