JPBB Miri Laksana Latihan Simulasi Program Vaksinasi COVID-19

SELASA, 2 MAC 2021

MIRI: Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah mengadakan Latihan Simulasi Program Vaksinasi COVID-19 di Dewan Dato Permaisuri Miri pada Selasa. 

Latihan ini bertujuan untuk menguji keberkesanan persediaan dan proses kerja pelaksanaan pemberian vaksin COVID-19 mengikut tatacara yang ditetapkan dalam garis panduan pelaksanaan pemberian vaksin.

Antara proses aliran kerja pemberian vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ini termasuklah saringan gejala dan pengambilan suhu badan, pendaftaran, kaunseling dan persetujuan imunisasi, suntikan vaksin dan pemerhatian. 

Sebelum itu, penerima vaksin akan diminta untuk berada dalam ruang pemerhatian dalam tempoh masa antara 15 hingga 30 minit.

Simulasi program ini berjalan dengan lancar dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil masa lebih 3 jam.

Menurut jurucakap KKM Miri, aktiviti pemberian vaksin sebenar untuk kategori Barisan Hadapan akan bermula pada hari Sabtu ini dan dilaksanakan serentak secara berjadual dan melalui temu janji di 6 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bahagian Miri.

Pihaknya juga sangat berharap agar program pemberian vaksin mendapat sokongan padu daripada komuniti seluruh rakyat Miri kerana pengambilan vaksin adalah langkah untuk pencegahan penuraan penyakit COVID-19 demi untuk melindungi diri dan orang di sekeliling.

Seruan kepada orang ramai dan penerima vaksin petugas barisan hadapan juga boleh mendaftar dan mengemaskini aplikasi MySejahtera di telefon pintar masing-masing.

Antara agensi yang terlibat dalam menjayakan program tersebut adalah KKM, Jabatan Penerangan Miri (JAPEN), Angkatan Pertahanan Awam Miri (APM), Pejabat Daerah Miri, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Miri (MMC), Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pergigian Miri. -EDISI UKAS

Share

add comment