NREB Dan NAIM Pergiatkan Pemantauan Kebakaran Hutan Di Kawasan Kuala Baram

SELASA, 2 MAC 2021

MIRI: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Wilayah Utara Miri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kini giat melakukan pemantauan dan pengawasan pembakaran terbuka di kawasan Kuala Baram Miri bagi mengelak kebakaran tanah gambut yang boleh mengakibatkan jerebu di Miri. 

“NREB dengan kerjasama NAIM kini telah melakukan pemantauan secara aktif dengan menggunakan dron bagi mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka,” katanya. 

Perkara ini dimaklumkan Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam satu kenyataan media pada Selasa. 

Terdahulu, pada Ahad Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak bersama dengan semua agensi di bawah JPBB Miri telah melakukan lawatan ke Menara Tinjau Tudan untuk memantau keadaan serta berbincang strategi pencegahan kebakaran tanah gambut dengan salah satu langkah menggunakan dron. 

Dalam kenyataan media itu juga, jelas Datuk Lee, maklumat daripada Pejabat Meteorologi Miri mendapati Miri kini berada di penghujung Monsun Timur Laut yang akan berakhir pada Mac dan akan mengalami musim kering iaitu memasuki fasa Monsun Barat Daya yang akan berlaku dari April sehingga Mei.

“Untuk mencegah daripada fenomena jerebu melanda Miri semasa musim kering, JPBB Miri akan memulakan persiapan sekarang, paling penting pemantauan dan pengawasan yang berterusan,” jelasnya lagi. 

Mengulas mengenai rondaan pemantauan dan pengawasan, Datuk Lee menjelaskan bahawa rondaan rutin dilakukan setiap dua jam oleh NREB dan setakat pemantauan petang semalam (Isnin) di lokasi Lot 3393, Lot 3709, Lot 4042, Lot 3711 dan Bandar Baru Permyjaya mendapati tiada pembakaran terbuka dilaporkan oleh petugas rondaan kecuali satu penemuan pembakaran kecil di kebun yang telah berjaya dipadamkan NREB untuk mengelak daripada merebak ke kawasan belukar berhampiran. 

Manakala pemantauan melalui dron setakat 4:40 petang semalam (Isnin) di semua lokasi pula melaporkan semua lokasi menunjukkan keadaan baik dan terkawal. 

Pemantauan terus dilakukan pada setiap dua jam sehingga tamat syif bertugas pada jam 7:00 petang. -EDISI UKAS

Share

add comment