Penubuhan Pejabat Cawangan Jabatan Tanah Dan Survey Permudahkan Urusan Pentadbiran Tanah Di Daerah Lawas

SELASA, 2 MAC 2021

LAWAS: Penubuhan pejabat cawangan Jabatan Tanah dan Survey (JTS) Daerah Lawas yang baharu saja dirasmikan ini akan mempermudahkan urusan hal ehwal berkaitan pentadbiran tanah. 

Menurut Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan orang ramai tidak perlu gusar sekiranya tidak pandai atau mahir menggunakan teknologi dalam perkhidmatan JTS kerana mereka masih boleh membuat urusan secara manual di pejabat ini. 

“Tidak semua masyarakat kita ini yang boleh mengakses dalam talian walaupun JTS telah meningkatkan perkhidmatan secara dalam talian. 

“Jadi, sebab itu saya telah meminta JTS Limbang untuk diadakan pejabat di sini (Lawas). Ini telah pun dapat direalisasikan. Syukur alhamdulillah.

“Ketika ini operasinya akan disokong oleh tiga hingga empat kakitangan daripada JTS. 

“Pejabat ini juga boleh digunakan untuk apa jua urusan yang berkaitan dengan pengurusan tanah di Daerah Lawas,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Lesen Penduduk Sementara (TOL) dan Cek Pampasan Tanah dan Perasmian Pejabat Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang (Cawangan Lawas) pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus@ Paulu Gumbang, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidilah Abdul Latif, Timbalan Residen Bahagian Limbang Datu Ubaidilah Abdul Latif, Timbalan (Pengurusan) Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi. -EDISI UKAS

Share

add comment