Persefahaman Kerajaan Sarawak Dan Kerajaan Persekutuan Di Bawah Perikatan Nasional Dalam Keadaan Baik

SELASA, 2 MAC 2021

LAWAS: Kerajaan Sarawak mempunyai persefahaman dan kerjasama yang begitu baik dengan Kerajaan Persekutuan dalam meneruskan agenda pembangunan di negeri ini. 

Perkara ini dijelaskan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika ditanya hubungan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional sempena setahun mentadbir negara. 

Katanya, ada kepentingan Sarawak telah dibawa ke peringkat perbincangan dan ada yang telah mencapai keputusan.

“Kita berasa amat bersyukur kerana mana-mana perkara yang perlu kita bincangkan berhubung kait dengan kepentingan dan hak kita ianya telah dibawa kepada meja perundingan secara baik.

“Untuk mencapai persefahaman itu, kita perlu melihat apa juga kepentingan-kepentingan kepada kita baik yang terhakis secara sengaja atau tidak sengaja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Perkara ini telah pun dibincang dengan baik dan beberapa perimeter yang telah kita capai menerusi komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Lesen Penduduk Sementara (TOL) dan Cek Pampasan Tanah dan Perasmian Pejabat Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang (Cawangan Lawas) pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus@ Paulu Gumbang, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidilah Abdul Latif, Timbalan Residen Bahagian Limbang Datu Ubaidilah Abdul Latif, Timbalan (Pengurusan) Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi. -EDISI UKAS

Share

add comment