Projek Jalan Kampung Supa-Medang Siap Dengan Kos RM6 Juta

ISNIN, 2 MAC 2021

BETONG: Penduduk Kampung Supa dan Medang di Betong kini boleh menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik dengan siapnya projek pembinaan jalan yang menghubungkan kedua kampung dengan menelan kos sebanyak RM6 juta.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam, peruntukan projek tersebut daripada Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di bawah Projek Rakyat.

“Alhamdullillah, saya secara peribadi ucapkan terima kasih kepada YAB CM kita kerana beliau sangat prihatin dengan permohonan kita bila kita perlukan dana untuk pembangunan.

“Ini merupakan jalan utama untuk masuk ke kampung dan ia telah siap sepenuhnya,” ujar Mohammad Razi semasa mengadakan walkabout bersama JKR Bahagian Betong bagi meninjau projek naiktaraf Dewan Kampung Medang dan Projek Jalan Lorong Kampung Medang pada Isnin.

Projek Jalan Lorong tersebut menelan kos sebanyak RM150,000 manakala kos bagi Naiktaraf Dewan Kampung Medang berjumlah RM200,000.

Mohammad Razi menambah, satu lagi jalan yang turut disumbangkan oleh Ketua Menteri ialah di Kampung Buda dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.5 juta ditambah dengan peruntukan dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebanyak RM500,000 menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM6 juta.

Jelasnya lagi, Ketua Menteri juga memberi peruntukan khas sebanyak RM4.5 juta bagi projek jalan di kawasan Rumah Panjang Dit/Belassau dengan jarak 3 kilometer.

Terdahulu, Mohammad Razi mengadakan walkabout bersama Kontraktor SEB Bagi Projek Tabung Pemohon dan Lewat (ALAF) melalui permohonan penduduk Kampung Medang, Kampung Serabang, Kampung Tuie, Kampung Manggut, Kampung Serembang dan Kampung Bungin.

Katanya, pelaksanaan Projek ALAF tersebut akan membolehkan kawasan di DUN Saribas memiliki kemudahan asas yang diperlukan.

Beliau turut meninjau Projek Naiktaraf Dewan SK Supa yang menelan kos sebanyak RM100,000.

Turut dilaksanakan di kawasan itu ialah projek membina jalan lorong dan rumah pondok bagi tanah perkuburan Kampung Supa dengan kos RM80,000 dan menaik taraf jalan lorong Kampung Supa dengan kos RM100,000. – EDISI UKAS

Share

add comment