Bot Nelayan Tempatan Ditahan Langgar Syarat Sah Lesen

RABU, 3 MAC 2021

MIRI: Sebuah bot nelayan tempatan Kelas C telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri selepas disyaki melakukan aktiviti perikanan pada jarak lebih kurang 5 batu nautika utara Kuala Baram pada Rabu. 

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman menerusi satu kenyataan media pada Rabu berkata, bot tersebut cuba melarikan diri dikejar dari diperiksa, namun telah dipintas dan ditahan 10 minit kemudiannya oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Permai di sekitar perairan Miri pada lebih kurang jam 7.40 pagi Selasa. 

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tidak menjumpai sebarang peralatan menangkap ikan seperti pukat tunda dan tali tunda. 

“Anggota penguat kuasa mengesyaki kru bot telah bertindak melepaskan tali pukat bagi mengelakkan dari ditahan, sebaik menyedari kehadiran aset Maritim.

“Bot tersebut kemudiannya diarahkan untuk berpatah semula ke posisi di mana penguatkuasa menjumpai sebahagian pukat terapung yang dipercayai milik mereka,” katanya. 

Jelas Kapten Maritim Md Fauzi lagi, pemeriksaan lanjut mendapati bot disyaki melakukan aktiviti perikanan kurang dari 7 batu nautika yang mana telah menyalahi syarat yang tertera di dalam lesen yang dimiliki. 

Bot nelayan tempatan itu dikendalikan oleh seorang tekong warga Malaysia bersama empat kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 27 hingga 65 tahun.

“Kesemua kru, bot dan peralatan menangkap ikan seterusnya ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 29 Akta Perikanan 1985 iaitu memusnahkan keterangan yang menuduh,” tambahnya. 

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang Maritim di perairan Negara. 

Orang ramai disaran menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri jika berlaku kecemasan atau kejadian mencurigakan menerusi talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. -EDISI UKAS

Share

add comment