Dato Sri Dr Stephen Rundi Tinjau 6 Projek Pembangunan Di DUN Kemena

RABU, 3 MAC 2021

KEMENA: Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa buah rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena bagi meninjau dan memantau sendiri projek pembangunan yang sedang dilaksanakan pada Rabu. 

Beliau bersama dengan pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu telah melawat ke Rumah Timban bagi meninjau kerja baik pulih dan memantau projek naik taraf Jalan ke rumah panjang tersebut.

Dalam masa yang sama, Dato Sri Dr Stephen Rundi turut meninjau masalah tanah susur yang dihadapi penduduk ketika ini. 

Seterusnya, lawatan ke Rumah Mampak bagi memantau kerja-kerja baik pulih tanah susur di bahagian belakang rumah panjang mereka. 

Kedua-dua projek di Rumah Timban dan Rumah Mampak merupakan projek naik taraf yang dilaksanakan menggunakan peruntukan Projek Jalan Perhubungan Desa (JPD)

Selepas itu, rombongan meneruskan lawatan ke Projek Bina Baru Jambatan Kemena (Sebauh) dan Projek Bina Baru Jalan Kampung Hilir Sebauh dengan kedua-dua projek tersebut merupakan Projek Rakyat yang telah diumumkan Ketua Menteri Sarawak ketika melawat ke Sebauh sebelum ini. 

Kelewatan pembinaannya disebabkan keadaan hujan dan penularan wabak pandemik COVID-19 dan kini telah diteruskan kembali. 

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena  turut diberikan taklimat ringkas tentang Projek Bina Baru Pejabat Daerah Sebauh yang hampir siap. 

Beliau menasihatkan syarikat tersebut supaya mempertingkatkan lagi usaha untuk menyiapkan projek tersebut memandangkan keadaan cuaca yang baik ketika ini supaya pelaksanaan projek dapat diperketatkan.

Mengakhiri lawatan, Dato Sri Dr Stephen Rundi melawat Rumah Nicholas Bat di Sungai Sebauh bagi meninjau projek naik taraf jalan rumah panjang tersebut.

Hadir sama Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi, Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Jenny Bangga dan Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Bintulu Lau. -EDISI UKAS

Share

add comment