Ketangkasan JPBN Sarawak Dalam Melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Di Sarawak Dapat Pujian

RABU, 3 MAC 2021

KUCHING: Ketangkasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri(JPBN) Sarawak dalam melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 di negeri ini mendapat pujian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

“Saya mengucapkan tahniah kepada JPBN Sarawak atas pencapaian mereka di mana saya telah difahamkan seramai 8,323 individu telah disuntik dengan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Sarawak.

“Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan pihak jawatankuasa peringkat negeri untuk memutuskan jangkitan COVID-19 di negeri ini.

“Keputusan untuk mensasarkan 70 peratus penduduk Sarawak divaksin sehingga Ogos tahun ini adalah praktikal bagi mengurangkan ketegangan di hospital dan pusat perubatan di negeri ini yang kita sedia maklum, tidak mencukupi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 di Sarawak.

Berkenaan dengan keputusan Kerajaan Sarawak untuk mendapatkan vaksin COVID-19 sendiri bagi menampung bekalan vaksin di negeri ini, Fazzrudin menyifatkan langkah yang diambil JPBN Sarawak itu sebagai proaktif.

“Ini adalah sebagai pelan kontingensi untuk menampung bekalan yang sedia ada dari kerajaan persekutuan.

“Saya percaya JPBN Sarawak akan mendapatkan nasihat dalam perkara ini dari Kumpulan Penasihat Vaksin COVID-19 Sarawak (Scovag) yang di ketuai oleh BEKAS Pengarah Kesihatan Sarawak, Prof Datuk Dr Andrew Kiyu Dawie,” ujarnya. 

Terdahulu, penasihat kepada JPBN Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mendedahkan bahawa 8,323 individu telah divaksin di Sarawak dalam masa tiga hari bermula Jumaat minggu lepas.

Dalam hantaran Facebook beliau, jumlah individu ini adalah daripada sembilan bahagian di Sarawak dan ianya mampu dicapai dengan kerjasama rakyat Sarawak dalam menjayakan program tersebut. -EDISI UKAS

Share

add comment