Latihan Simulasi Program Vaksinasi COVID-19 Di Dewan Masyarakat Bekenu Berjalan Lancar

RABU, 3 MAC 2021

BEKENU: Program Vaksinasi COVID-19 di Bahagian Miri akan bermula pada 6 Mac ini.

Sehubungan itu, beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah dikenal pasti di bahagian ini kini sibuk mengadakan latihan simulasi bagi memastikan proses tatacara pengambilan vaksin berjalan lancar dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Di PPV Dewan Masyarakat Bekenu turut diadakan latihan simulasi bagi fasa pertama yang akan melibatkan petugas barisan hadapan. 

Latihan simulasi ini bertujuan menguji keberkesanan persediaan dan proses kerja pelaksanaan pemberian vaksin mengikut tatacara SOP yang ditetapkan KKM. 

Antara proses aliran kerja pemberian vaksin COVID-19 di PPV ini termasuk saringan gejala dan pengambilan suhu badan, pendaftaran, kaunseling dan persetujuan imunisasi, suntikan vaksin dan pemerhatian di mana penerima akan diminta untuk berada dalam ruang pemerhatian dalam tempoh masa antara 15 hingga 30 minit.

Antara agensi-agensi yang terlibat menjayakan program tersebut adalah Jabatan Kesihatan Miri (KKM), Jabatan Penerangan Miri (JAPEN), Angkatan Pertahanan Awam Miri, Pejabat Daerah Subis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Majlis Daerah Subis. -EDISI UKAS

Share

add comment