Mangsa Dikhuatiri Hilang Di Kampung Seberang Kedai Berjaya Dijumpai

RABU, 3 MAC 2021

LIMBANG: Seorang warga emas, Tamin Kalling, 63 tahun dari Kampung Seberang Kalling telah berjaya dijumpai dalam Keadaan selamat selepas dilaporkan hilang pada Selasa. 

Menurut Info dari Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak pada Rabu memaklumkan mangsa telah dijumpai dalam keadaan lemah.

“Pada jam 9.20 pagi, penduduk Kampung Merambut telah menjumpai perahu mangsa yang tersadai di tepi sungai, tetapi mangsa tidak ada di dalamnya. Berita itu segera dimaklumkan kepada keluarganya.

“Setelah itu keluarga mangsa dan orang kampung bergegas ke lokasi perahu mangsa dijumpai dan terus membuat pencarian di sungai dan di darat sehingga mangsa dijumpai di darat dalam keadaan lemah pada jam 10.15 pagi kira-kira 1 km dari kedudukan perahu mangsa.

“Keluarga mangsa dan orang kampung telah membawa mangsa ke dalam bot dan dibawa balik ke rumahnya,” katanya. 

Terdahulu, mangsa telah dilaporkan hilang selepas keluar menggunakan perahu untuk menghantar orang ke lokasi yang tidak diketahui pada jam 11.00 malam namun mangsa tidak pulang kerumahnya hingga keesokan harinya.

Risau dengan keadaan itu keluarga mangsa yang dibantu orang kampung telah berusaha mencari mangsa ke laut dan ke Ulu Sungai Limbang dengan menggunakan perahu sekitar jam 6.00 pagi. -EDISI UKAS

Share

add comment