MOT Akan Kaji Isu Pengangkutan Barangan Berat

RABU, 3 MAC 2021

KUCHING: Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Cawangan Sarawak telah mengemukakan isu pengangkutan barangan berat yang dihadapi dan mencadangkan untuk menaik taraf sistem jalan raya di Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, pihak kementerian akan mengkaji segala cadangan dan isu yang ditimbulkan oleh FMM Cawangan Sarawak dan  mengemukakannya kepada agensi ataupun jabatan berkenaan bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

“Mereka telah pun memberi beberapa cadangan dan salah satu masalahnya dari segi pengangkutan barangan berat, ini adalah salah satu isu yang dikemukakan.

“Kementerian saya akan kaji segala cadangan dan isu yang ditimbulkan oleh FMM Cawangan Sarawak dan kita juga akan kemuka kepada agensi ataupun jabatan berkenaan untuk mengatasinya dalam jangka masa pendek dan masa panjang,” katanya ketika ditemui selepas melakukan dialog bersama FMM Sarawak di pejabatnya di sini pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi FMM Cawangan Sarawak, Dato Sri Victor Hii Lu Thian memberitahu, sistem jalan raya khususnya di Sarawak adalah sangat penting untuk menarik pelabur sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negeri ini.

“Jadi kami ingin MOT membantu menaik taraf jalan untuk membantu pihak pengeluar supaya mereka dapat menghasilkan lebih banyak produk kerana semua pengeluaran beroperasi mengikut skala ekonomi.

“Jika anda dapat menghantar produk anda dengan dua lori mengapa perlu dihantar dengan empat lori. Kosnya lebih banyak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Datuk Lee telah melantik salah seorang ahli jawatankuasa daripada FMM Cawangan Sarawak dalam Jawatankuasa Pengangkutan Sarawak.-EDISI UKAS

Share

add comment