Setiap Ahli JKKK Perlu Pastikan Tugasan Diberikan Dilaksanakan Dengan Sempurna

RABU, 3 MAC 2021

BELURU: Setiap ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Daerah Beluru diingatkan supaya menjalankan tugas yang diberikan dengan sempurna.

Pegawai Daerah Beluru Alfred Geling Ason berkata, setiap tugasan yang diberikan itu adalah amanah dan pastikan ianya dilaksanakan mengikut peraturan dan undang-undang. 

“Setiap ahli JKKK hendaklah berkhidmat dan ikhlas dalam melaksanakan tugas-tugas mengikut kemampuan terbaik menurut Undang-Undang Sarawak dan Malaysia.

“Selain itu, setiap ahli JKKK juga perlu merahsiakan segala maklumat sulit atau rahsia, dokumen-dokumen dan perkara-perkara yang berada dalam pengetahuan selama berkhidmat di dalam JKKK itu.

“Juga, tidak menggunakan apa-apa maklumat sulit tersebut, dokumen dan pengetahuan, untuk faedah diri sendiri atau manfaat kepada mana-mana orang lain, selain daripada bagi maksud-maksud tanggungjawab sebagai Setiausaha atau Ahli Jawatankuasa JKKK,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Sijil Pendaftaran JKKK dan Watikah Pelantikan Setiusaha JKKK Rumah James Ugil, Sungai Nakat, Bakong dan Rumah Keyai Kiaw, Sungai Lutong, Bakong pada Selasa. 

Tempoh bagi pemegang-pemegang jawatan dalam JKKK adalah dua tahun bermula 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2022. -EDISI UKAS

Share

add comment