Kerajaan Sarawak Akan Bekalkan Air Bersih Ganti Penggunaan Air Bukit Di Ulu Merapok

KHAMIS, 4 MAC 2021

LAWAS: Kerajaan Sarawak sentiasa peka kepada keperluan masyarakat di kawasan Ulu Merapok ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, keperluan ini merangkumi keperluan asas seperti air dan kemudahan pembangunan yang lain. 

“Kita akan membekalkan bekalan air bersih di kawasan Ulu Merapok ini bagi menggantikan penggunaan air bukit ketika ini.

“Dalam masa sama, kapasiti loji air di kawasan ini akan dipertingkatkan untuk menampung keperluan masyarakat setempat khususnya kampung-kampung yang berdekatan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Walkabout Menaik Taraf Dewan Kampung Bukit Manang, Merapok baru-baru ini.

Dalam majlis itu, Datuk Amar Awang Tengah turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk menaik taraf Dewan Kampung Bukit Manang, TADIKA Akar Baik RM10,000, dapur Gereja  Kampung Bukit Manang RM5,000, Persatuan Wanita Kampung Bukit Manang RM5,000 dan Pakaian Tradisi Kampung Bukit Manang RM3,000. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berharap masyarakat di sini akan terus bekerjasama dan menjaga perpaduan supaya dapat hidup harmoni walaupun berbilang kaum serta mudah untuk melaksanakan apa-apa projek yang diperlukan rakyat. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus@ Paulu Ak Gumbang, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidilah Abdul Latif, Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Penghulu Tiga Buyun dan Penghulu Joseph Gusa. -EDISI UKAS

Share

add comment