Kerajaan Sarawak Suntik Dana RM4.179 Juta Bina Bangunan Baharu KAA

KHAMIS, 4 MAC 2021

KUCHING: Kerajaan Negeri menyumbang sebanyak RM4.179 juta bagi membina bangunan baharu  Persatuan Autisme Kuching (KAA).

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah peruntukan ini bagi menampung kos pembinaan bangunan tersebut.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengucapkan tahniah kepada KAA, atas perkhidmatan terbaik mereka kepada golongan autisme ini.

“Dengan ini kerajaan mengiktiraf usaha NGO dengan memberi pelbagai sokongan khususnya dari segi kewangan,” katanya semasa melakukan lawatan ke Persatuan Autisme Kuching pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerajaan persekutuan turut menyalurkan bantuan bagi membantu golongan berkenaan.

“Bantuan yang telah disalurkan kepada KAA adalah geran Rangsum dan Elaun Khas Murid OKU,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberikan geran Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) Negeri kepada KAA sebanyak RM20,000 pada tahun lepas dan akan menyediakan Geran Operasi Tahunan bagi organisasi tersebut menjalankan program. 

Beliau turut memberitahu, kerajaan bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan menyediakan perkhidmatan pemulihan dan sistem sokongan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di Sarawak. – EDISI UKAS

Share

add comment