KMKK Dan JKKK Laksanakan Tugas Yang Diamanahkan Dengan Jujur Dan Ikhlas

KHAMIS, 4 MAC 2021

BELURU: Setiap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Daerah Beluru perlu menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jujur dan ikhlas. 

Pegawai Daerah Beluru Alfred Geling Ason berkata sekiranya tugas dan tanggungjawab yang diberikan ini dilaksanakan dengan jujur, ianya membolehkan sistem pengurusan dan pentadbiran kampung efisien dan berjalan lancar. 

“Setiap KMKK dan JKKK perlu berkhidmat dan ikhlas dalam melaksanakan tugas-tugas mengikut kemampuan terbaik menurut Undang-Undang Sarawak dan Malaysia.

“Di samping itu, merahsiakan segala maklumat sulit atau rahsia, dokumen-documen dan perkara-perkara yang berada dalam pengetahuan selama berkhidmat dan tidak menggunakan apa-apa maklumat sulit tersebut, dokumen dan pengetahuan, untuk faedah diri sendiri atau manfaat kepada mana-mana orang lain.

“Dan juga, bekerjasama untuk memajukan rumah panjang masing-masing serta menasihati penduduk rumah panjang untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa menyerahkan Sijil Pendaftaran JKKK dan Watikah Perlantikan Setiusaha JKKK Bagi Rumah Tan Lunsa, Sungai Temam, Bakong dan Rumah Rantai, Sungai Kelabit, Bakong di Pejabat Daerah Beluru pada Rabu. 

Seramai 15 orang Ahli Jawatankuasa JKKKK dari Rumah Tan Kunsa dan Rumah Rantai menerima watikah pelantikan bagi tempoh 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022. -EDISI UKAS

Share

add comment