Kontraktor Perlu Lebih Bertanggungjawab, Pengurusan Dan Perancangan Lemah Perlu Diatasi Segera

KHAMIS, 4 MAC 2021

LIMBANG: Kontraktor yang terlibat perlu mengambil tanggungjawab penuh ke atas kelewatan pelaksanaan projek tersebut.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mereka perlu memperkemaskan lagi perancangan dan pengurusan agar kelewatan projek itu dapat diatasi dan bukannya dibiarkan begitu sahaja. 

“Saya lihat banyak kelemahan dari segi perancangan dan pengurusan yang tidak disesuaikan dengan kaedaaan semasa. 

“Misalnya, untuk bangunan muzium ini mereka katakan punca kelewatan disebabkan oleh ‘micropile’ yang lambat disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlaku di Kuching dan di Sabah tetapi selepas itu apabila ‘micropile’ tidak lagi diperlukan mereka pun masih sama tidak fokus dalam menyiapkan bangunan ini. 

“Inilah yang saya tengok tidak ada penyelarasan dari segi perancangan dan pengurusan daripada kontraktor-kontraktor ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan Walkabout Ke Projek Rakyat Ketua Menteri dan Projek Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di Daerah Limbang pada Rabu.

Beberapa projek Kerajaan Sarawak seperti Projek Membina Jalan Ulu Tubai ke Mentawai dan Gunung Buda, Projek Jambatan Sungai Limbang 2, Muzium Pentadbiran dan Pembangunan Limbang dan Projek Naik Taraf Jalan Masuk ke Bandar Limbang kepada Dual Carriageway yang dilaksanakan di sini mengalami kelewatan disebabkan penularan wabak COVID-19, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan bahan binaan lewat sampai.

Dalam sidang media yang sama, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menambah perkara yang sama turut berlaku ke atas Projek Jambatan Sungai Limbang 2. 

“Saya sudah bagi tahu kepada kontraktor bahagian pembinaan jambatan supaya pekerja bahagian jambatan yang membuatnya tetapi dalam masa yang sama kenapa pembinaan jalan raya menuju ke jambatan itu tidak dilaksanakan, sedangkan mereka sudah tahu laluan dan ‘alignment’ jalan itu, sebenarnya semua ini boleh dilaksanakan dalam masa yang sama?

“Semua ini disebabkan oleh perancangan dan pengurusan yang kurang baik. Jadi kita minta mereka supaya lebih bertanggungjawab. Sekiranya mereka memerlukan tambahan jentera atau tenaga tambahan mereka mesti melakukannya terutamanya untuk projek-projek yang peratusan kelewatanya terlalu tinggi seperti Jambatan Sungai Limbang dan Jalan Ke Gunung Buda. 

“Saya mahu mereka laksanakan projek-projek ini mengikut ‘catch up plan’,” tambahnya. 

Dalam pada itu, beliau meminta kontraktor segera melaksanakan Projek ‘Dual Carriageway’ yang perlu diselaraskan dengan projek pembangunan Waterfront kerana ia akan menjadi pusat kepada aktiviti rekreasi dan bermacam-macam aktiviti di Bandar Limbang ini. 

Turut hadir Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Abdul Latip, Pemangku Residen Bahagian Limbang Sebi Abang dan Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said. -EDISI UKAS

Share

add comment