Perjanjian ‘Term Sheet’ Perkukuh Kerjasama Sarawak dan PETRONAS

KHAMIS, 4 MAC 2021

KUCHING: Kerajaan Negeri melalui Sarawak Energy telah menandatangani Perjanjian ‘term sheet’ bersama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sebagai usaha mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, komitmen untuk menyediakan bekalan kuasa 90MW ke Kompleks LNG Malaysia di Tanjung Kidurong selama 20 tahun menunjukkan keupayaan Sarawak Energy untuk menyediakan tenaga dan juga membuktikan keyakinan kehadiran jangka panjang PETRONAS di Sarawak.

“Penandatanganan ‘term sheet’ ini membolehkan Sarawak terus berkongsi sumber tenaga boleh diperbaharui dengan pemain lain dalam membangunkan masa depan tenaga yang mampan.

“Komitmen untuk menyediakan bekalan kuasa 90MW ke Kompleks LNG Malaysia di Tanjung Kidurong selama 20 tahun menunjukkan keyakinan bukan hanya kemampuan Sarawak Energy untuk menyediakan kuasa tetapi juga membuktikan keyakinan PETRONAS terhadap kehadiran jangka panjang mereka di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Menandatangani Perjanjian ‘Term Sheet’ Antara Sarawak Energy Dan PETRONAS secara maya di pejabat beliau, Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Khamis.

Majlis tersebut dilakukan secara maya dengan  PETRONAS diwakili Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat LNG Malaysia & PETRONAS LNG Bhd, Mohamed Syazwan Abdullah manakala Sarawak Energy diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad, Datu Sharbini Suhaili.

Turut hadir menyaksikan majlis itu Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi, Pengerusi Sarawak Energy Bhd, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dan Pengarah Bukan Eksekutif PETRONAS, Dato Ibrahim Baki.-EDISI UKAS

Share

add comment