Program Kasih Al-Bait Bantu Baik Pulih Pemilik Rumah Uzur Dan Daif Serta Tidak Berkemampuan

KHAMIS, 4 MAC 2021 

LAWAS: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah mengadakan lawatan ke Kampung Languban, Merapok bagi meninjau pembinaan rumah Program Kasih Al-Bait yang kini masih dalam pembinaan baru-baru ini. 

Dalam lawatan itu, beliau telah melakukan perasmian dengan menyimen dinding rumah tersebut sebagai tanda simbolik. 

Kesempatan itu juga, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari bertanya khabar dan beramah mesra dengan penduduk di kawasan itu.

Program Kasih Al-Bait bertujuan membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pemilik rumah yang sudah uzur dan daif serta sukar untuk dibaik pulih. 

Malah, ada di kalangan mereka sudah tidak berkemampuan untuk membina rumah baharu kerana tiada sumber pendapatan. 

Buat permulaan, program ini menyediakan dua buah rumah mengikut reka bentuk yang telah ditetapkan dengan dana permulaan sebanyak RM20,000 daripada Jawatankuasa Bencana dan RM15,000 daripada Projek Program Transformasi Luar Bandar (PPRMS) yang dibuat secara gotong-royong bagi menjimatkan kos pembinaan.

Setakat ini terdapat dua buah rumah yang sedang dibina iaitu rumah milik Jemayah Hasan di Kampung Languban dan rumah milik Shah Ahad Japari di Kampung Meringgit Jalan Merapok Lawas.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus@ Paulu Ak Gumbang, Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidilah Abdul Latif, Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok. -EDISI UKAS

Share

add comment