PUSAKA Komited Membendung Gejala Rasuah Dan Meningkatkan Nilai Integriti Dalam Penyampaian Perkhidmatan Awam

KHAMIS, 4 MAC 2021

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) hari ini melancarkan Buku Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 selaras dengan Pekeliling Integriti Kerajaan Negeri Sarawak Bilangan 1/2020 yang mewajibkan semua agensi kerajaan menyediakan OACP untuk tempoh 5 tahun bermula tahun 2021.

Pelancaran buku OACP ini telah disempurnakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Kuching pada Khamis.

Katanya, pelancaran Buku OACP ini bertujuan mewar-warkan komitmen pengurusan atasan PUSAKA dalam menangani dan membendung gejala rasuah dan meningkatkan nilai-nilai integriti dalam penyampaian perkhidmatan awam.

“Penyediaan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) adalah satu inisiatif mandatori di bawah Strategi 2 Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) untuk memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

“OACP ini hendaklah merangkumi aspek gevernans, integriti dan anti rasuah dalam organisasi dan melibatkan semua bidang dan aktiviti dalam organisasi,” katanya.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga merupakan Pengerusi PUSAKA menambah, Pelan OACP ini telah dihasilkan melalui Bengkel OACP Pusaka yang telah diadakan selama tiga hari iaitu pada 16 hingga 18 Februari oleh Unit Integriti dan Ombudsman, Jabatan Ketua Menteri.

“Ini juga bertepatan dengan usaha PUSAKA ke arah pematuhan Seksyen 17 (A) Corporate Liablity yang dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020.

“PUSAKA mempunyai eviden komitmen atasan dalam mengadakan kawalan dalam melalui Pelan OACP.

“Pelan Anti Rasuah PUSAKA ini memfokuskan kepada 7 bidang keutamaan yang merupakan bidang yang ada risiko ruang dan peluang berlakunya rasuah seperti pelesenan, penguatkuasaan undang-undang, pengurusan projek, pentadbiran (sumber manusia), tadbir urus, perolehan dan pengurusan program,” tambahnya.

Dalam Pelan OACP ini juga, PUSAKA telah menghasilkan 7 Strategi, 10 Objektif Strategi dan 90 Inisiatif dan Pelan Tindakan bagi mencapai Visi OACP PUSAKA ke arah menjadikan PUSAKA yang berintegriti dan bebas rasuah.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Naroden Majais, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Ketua-ketua jabatan. -EDISI UKAS

Share

add comment