Sarawak Perkenal SPay Global (SPG) Untuk Transaksi Luar Negara

KHAMIS, 4 MAC 2021

KUCHING: Sarawak kini memperluaskan lagi sistem pembayaran Sarawak Pay ke luar negara melalui Unionpay Virtual Card dalam platform eWalletnya.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini adalah satu lagi kejayaan Kerajaan Negeri dalam menuju ke arah negeri digital yang bermula sejak 2017.

“Acara hari ini adalah satu lagi kejayaan yang dicapai dalam merealisasikan hasrat kita ke arah negeri digital. Kejayaan ini adalah hasil MoU yang kami tandatangani dengan UnionPay semasa lawatan saya ke China pada bulan April 2019.

“Sarawak Pay melancarkan SPay Global (SPG) ‘Virtual Card’ pada eWalletnya yang membolehkan penggunaan untuk pembayaran di luar negara di mana QR Kod UnionPay diterima,” katanya semasa Majlis Pelancaran UNIONPAY International Virtual Card secara maya di Pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.

Tambah beliau lagi, terdapat hampir RM1 billion transaksi pengguna dalam Sarawak Pay dan berharap dengan kerjasama bersama UnionPay ini akan memberi impak peningkatan yang memberangsangkan.

Untuk rekod, Sarawak Pay kini mempunyai seramai 496,000 pengguna dan hampir 70,000 peniaga yang mengambil bahagian di Sarawak. – EDISI UKAS

Share

add comment