Kerajaan Sarawak Bantu Selesai Bayar Balik PTPTN Berpandu Kepada Proses Yayasan Sarawak

JUMAAT, 5 MAC 2021

KUCHING: Peruntukan sebanyak RM30 juta yang disalurkan oleh kerajaan Sarawak bagi membantu menyelesaikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar Sarawak akan berpandukan kepada proses Yayasan Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Yayasan Sarawak telah dilantik untuk menyelaras inisiatif kerajaan itu kerana Yayasan Sarawak juga memberikan pinjaman kepada para pelajar dan mereka membayar balik hutang.

Menurut beliau, ia adalah bagi mengelakkan daripada berlaku percanggahan syarat bayaran balik antara pelajar di bawah PTPTN dan Yayasan Sarawak.

“Kita pada mulanya memberikan peruntukan RM30 juta mengikut cara Yayasan sarawak kerana Yayasan Sarawak juga memberikan pinjaman kepada para pelajar kita dan pelajar kita membayar hutang mereka balik.

“Bantuan dari negeri Sarawak akan berpandukan kepada proses Yayasan Sarawak itu sendiri dalam mereka membayar hutang bagi mengelak daripada berlaku percanggahan antara pelajar di bawah PTPTN dan juga pelajar di bawah Yayasan Sarawak, jadi kita konsisten,”

“Sebab itu saya telah mengambil keputusan, agensi yang menyelaraskan ini ialah Yayasan Sarawak supaya dasarnya adalah dasar yang lebih konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Antara Yayasan Sarawak dan PTPTN di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat.

Datuk Patinggi Abang Zohari telah menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman tersebut dan penyerahan cek yang dilakukan oleh Pengarah Yayasan Sarawak, Azmi Bujang dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Sementara itu, Ketua Menteri menyifatkan, menerusi kerjasama tersebut, beliau yakin dapat menyelesaikan isu-isu tertunggak yang dihadapi oleh pelajar-pelajar anak Sarawak yang berhutang dengan PTPTN.

Hadir sama dalam majlis itu adalah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), Datu Dr. Sabariah Putit.-EDISI UKAS

Share

add comment