Penduduk Taman Univista Mohon Bina Parit Konkrit Atasi Banjir Kilat

JUMAAT, 5 MAC 2021

KOTA SAMARAHAN: Penduduk di Taman Univista memohon kepada pihak berwajib bagi membina parit konkrit dan menambah empat ‘box culvert’ di kawasan depan RHB Bank Unisquare Samarahan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan berkenaan.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Komuniti Taman Univista, Boniface Lembang berkata, mereka turut mencadangkan agar pihak berkaitan untuk membuka balik ‘box culvert di depan kawasan stesen minyak Petronas Samarahan Expressway bagi mengatasi masalah tersebut.

Menurutnya, banjir kilat sering melanda kawasan perumahan Taman Univista setiap kali hujan lebat berterusan berikutan masalah sistem perparitan.

“Disebabkan sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik, kami memohon agar pihak Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menyelesaikan perkara ini.

“Pada masa sama, pihak Ahli Jawatankuasa Komuniti Taman Univista memohon pihak MPKS untuk menggantikan tong sampah yang hilang dibawa hanyut arus banjir baru-baru ini,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh pihak Ahli Jawatankuasa Komuniti Taman Univista melalui surat aduan rasmi yang diserahkan kepada Pegawai Khas Ahli Parlimen Kota Samarahan, Syahrizzal Arfandy Adam dan Pegawai Khas ADUN Stakan, Mohd Ainnie Wahab.

Pada 19 Februari lepas, penduduk Taman Univista dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.

Penduduk Taman Univista mendakwa banjir kilat kali ini adalah yang terburuk sepanjang tempoh 12 tahun.

Turut hadir bersama, Jurutera Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Hissyam Hazmi.-EDISI UKAS

Share

add comment