Vaksin COVID-19 Tiba Di Miri Untuk Keperluan Petugas Barisan Hadapan Di Bintulu, Miri Dan Limbang

JUMAAT, 5 MAC 2021

MIRI: Vaksin COVID-19 untuk keperluan petugas-petugas barisan hadapan di Wilayah Utara merangkumi Bintulu, Miri dan Limbang telah selamat tiba di Miri pada Khamis jam 9.26 malam di Pejabat Farmasi Bahagian Miri. 

Menurut Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Jumaat, penghantaran vaksin COVID-19 melalui jalan darat dari Kuching ke Miri  itu telah diterima Pegawai Farmasi Bahagian Miri Eileen Yii Sze Shin dan disaksikan beberapa ahli jawatankuasa JPBB Miri. 

“Sebanyak tiga kotak yang mengandungi 16,380 dos vaksin COVID-19 dengan anggaran berat sebuah kotak lebih kurang 20 kilogram telah selamat tiba di Miri pada malam Khamis. 

“Miri menerima 11,700 dos vaksin, Bintulu 3,340 dos dan Limbang 2,340 dos.

“Penghantaran itu telah dilakukan syarikat penghantaran yang diiringi seorang pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak serta sepasukan polis dari Polis DI Raja Malaysia (PDRM) yang mengiringi kenderaan penghantar secara bergilir apabila kenderaan penghantar ini melalui setiap bahagian-bahagian dari Kuching sebelum tiba di bahagian Miri,” katanya. 

Mengulas lanjut, Datuk Lee yang juga merupakan Menteri Pengangkutan Sarawak menggesa orang ramai yang berada di bandar dan mempunyai telefon pintar serta capaian internet untuk membuat pendaftaran vaksinasi COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera. 

“Orang ramai adalah digalakkan supaya mereka boleh bersedia awal dengan mendaftar sekarang untuk pemberian vaksin COVID- 19 Fasa 2 dan 3 yang akan datang bagi mengelakkan mereka daripada keciciran. 

“Tarikh tentatif aktiviti pemberian vaksinasi COVID-19 Fasa 2 kepada masyarakat umum berisiko tinggi seperti warga emas, penyakit kronik dan sebagainya adalah pada bulan April 2021. 

“Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan memaklumkan secara rasmi pada waktu yang terdekat kemudian,” ujarnya. 

Bagi mereka yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera atau tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet adalah diminta untuk mengemukakan permohonan vaksinasi COVID-19 melalui empat saluran berikut pada waktu pejabat, Isnin hingga Jumaat iaitu di pejabat-pejabat Daerah, Ketua Kaum iaitu Ketua Kampung, Kapitan dan Tuai Rumah yang akan dibantu oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing, Jawatankuasa Penduduk (RC) (Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Marudi) dan mendaftar di Klinik Kesihatan yang berdekatan (bagi kawasan pedalaman sahaja). -EDISI UKAS

Share

add comment