110 Mangsa Banjir Kampung Pengkalan Kuap Terima Sumbangan Bakul Makanan Dan Wang Ihsan

SABTU, 6 MAC 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 110 mangsa banjir dari Kampung Pengkalan Kuap menerima sumbangan bakul makanan daripada Pusat Khidmat ADUN Stakan dengan kerjasama Bank Rakyat Cawangan Kota Samarahan.

Manakala seramai 148 lagi mangsa banjir dari Kampung Bukit Berangan (5), Kampung Sungai Empit (14), Kampung Merdang Lumut (19) dan Kampung Pengkalan Kuap (110) menerima sumbangan wang ihsan secara simbolik dari Pusat Khidmat ADUN Stakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud, berkata sumbangan bakul makanan dan wang ihsan itu bagi meringankan beban keluarga yang terjejas dan ianya bertujuan membantu mangsa untuk memulakan kehidupan setelah dilanda musibah banjir pada Februari lepas.

Menurut beliau, pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah memaklumkan bahawa masalah banjir yang berlaku di kampung-kampung dan kawasan perumahan di Kota Samarahan akan ditangani menerusi Projek Pembangunan Bersepadu Lembangan Sungai Sarawak (PLSB).

Jelas beliau, kajian pelan induk perparitan dan mitigasi banjir Lembangan Sungai Samarahan sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak dan sepatutnya siap pada hujung tahun lepas namun tergendala berikutan pandemik COVID-19 dan kajian akan diteruskan pada tahun ini.

Beliau dalam pada itu yakin Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dapat mengatasi dan mengurangi masalah banjir yang sering berlaku khususnya di sekitar kawasan DUN Stakan.

Pada masa sama, beliau berharap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pengkalan Kuap dapat memainkan peranan yang proaktif dengan menjalinkan kerjasama bersama para belia-belia kampung menerusi SABERKAS untuk menjalankan aktiviti gotong-royong membersih aliran parit agar tidak berlaku masalah sistem perparitan tersumbat.

Sementara itu, Penghulu Kampung Pengkalan Kuap, Buhari Abu Sapian ketika ditemubual berkata, beliau mewakili penduduk kampung amat bersyukur dan berterima kasih kepada ADUN Stakan dengan kerjasama pihak Bank Rakyat Cawangan Kota Samarahan kerana sudi menghulurkan sumbangan kepada penduduk kampung yang terjejas akibat banjir.

“Walaupun kampung ini dilanda musibah banjir yang menyebabkan kerosakan harta benda namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” Kata Buhari.

Justeru, beliau berharap pada masa akan datang sistem sungai dan perparitan dapat dinaiktaraf.

Di samping itu katanya, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pengkalan Kuap memerlukan sumbangan bot beserta enjin untuk memudahkan operasi menyelamat mangsa.

“Ini kerana semasa banjir berlaku, mereka terpaksa menunggu hampir dua jam untuk pihak Bomba membawa bot membantu memindahkan penduduk yang terjejas,” jelasnya.-EDISI UKAS

Share

add comment