ADUN Tellian Hulur Sumbangan Kepada Rumah Ibadat Musnah Dalam Kebakaran

SABTU, 6 MAC 2021

MUKAH: Musibah kebakaran yang memusnahkan 80 peratus stor wakaf Tua Pek Kong pada malam Khamis mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo yang segera menghulurkan bantuan.

Sumbangan kewangan sebanyak RM10,000 diserahkan beliau kepada wakil rumah ibadat berkenaan dalam majlis ringkas di lokasi kejadian pada Jumaat.

Menurut Yussibnosh, pihaknya memandang berat musibah yang menimpa rumah ibadat kerana ia tempat masyarakat berbagai kaum berkumpul tanpa mengira latar belakang politik.

Beliau dalam pada itu berharap sumbangan beliau dan dari penderma lain dapat membantu membina semula rumah ibadat tersebut dengan segera kerana ia sangat penting untuk masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Thai Shan Ting Tua Pek Kong, Leong King Lee merakamkan terima kasih kepada Yussibnosh di atas sumbangan berkenaan.

Katanya, pihak persatuan juga berharap agar projek pembesaran kawasan Tua Pek Kong ini dapat diluluskan untuk memudahkan penganut melakukan ibadat.

Setiausaha Persatuan Thai Shan Ting Tua Pek Kong, Teo Yang Ming pula berharap Kerajaan Negeri melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dapat membantu pihaknya membaikpulih stor rumah ibadat berkenaan. – EDISI UKAS

Share

add comment