Jalan Alternatif Baru Hubungkan Kampung Data Kakus Dan Pekan Belaga Dicadangkan

SABTU, 6 MAC 2021

BELAGA: Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang turun padang pada Jumaat menyertai kerja-kerja merintis jalan alternatif dari Simpang Uma Sihan menuju ke Jalan Data Kakus.

Survei itu dibuat untuk menyediakan satu kertas kerja berkaitan dengan cadangan pembinaan jalan alternatif baru bagi menghubungkan Kampung Data Kakus dengan Pekan Belaga tanpa melalui Jalan Ladang Kelapa Sawit Tajang Holding yang agak jauh.

Selepas selesai kerja merintis, jarak dari simpang Uma Sihan tembus ke Jalan Sengla dan kemudian sampai di Jalan Data Kakus hanya 10 kilometer dan dari situ sampai Kampung Data Kakus hanya 8 kilometer.

Menurut penduduk kampung, sekiranya jalan baru itu siap, ia boleh menjimatkan masa antara 40 minit hingga 1 jam perjalanan antara Kampung Data Kakus dan Pekan Belaga.

Datuk Liwan memaklumkan antara sebab laluan itu dicadangkan untuk dibina jalaraya bagi menghubungkan Kampung Data Kakus ialah untuk memudahkan penyambungan grid elektrik dari Uma Sihan ke Kampung Data Kakus.

Katanya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, terlalu banyak rintangan yang perlu dihadapi jika hendak membawa grid elektrik melalui ladang kelapa sawit.

Sehubungan itu, beliau telah meminta bantuan JKR Belaga untuk menyediakan satu kertas kerja dengan segera supaya ia dapat dibawa dan disampaikan kepada pucuk pimpinan negeri dalam masa terdekat ini.

Ketua kaum dan penduduk kampung Data Kakus menyambut baik cadangan berkenaan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Liwan yang sangat prihatin terhadap masalah mereka.

Hadir sama Penolong Jurutera JKR Belaga Abbas Saad Muhd Rafee, Ketua Masyarakat dan beberapa orang Ketua Kaum dari Data Kakus. – EDISI UKAS

Share

add comment