Minyak Sekiu: Sumber Rezeki Penduduk Kampung Jemoreng

JUMAAT, 5 MAC 2021

MATU: Bagi yang berkunjung ke Kampung Jemoreng, Matu, tidak lengkap rasanya jika tidak merasai keenakan minyak sekiu atau terkenal dengan nama komersialnya, ‘golden oil’.

Minyak sekiu cukup sinonim dengan Kampung Jemoreng kerana hanya di situ produk turun temurun yang kaya dengan pelbagai khasiat itu boleh diperolehi.

Proses pembuatannya yang rumit ditambah lagi pokok sekiu hanya berbuah dalam tempoh empat hingga lima tahun sekali menyebabkan harga minyak sekiu amat bernilai hingga mencecah RM500 sebotol bersaiz 500ml.

Minyak sekiu sentiasa ada permintaan dan mempunyai pasaran yang tersendiri di setiap kawasan.

Namun, pengusaha minyak itu kini berhadapan dengan masalah pokok sekiu yang semakin pupus disebabkan kegiatan penerbangan pokok secara haram.

Sehubungan itu, Penghulu Kampung Jemoreng Matu, Penghulu Che Jeni Sahdan berharap pihak kerajaan Negeri Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak dapat menggazetkan kawasan Hutan Hulu Jemoreng sebagai hutan simpan.

“Selain itu saya juga memohon supaya pokok sekiu digazet sebagai pokok larangan untuk ditebang atau dikomersialkan.

“Ini untuk melindungi pokok sekiu dari pupus dan dapat diusahakan secara berterusan hingga ke generasi akan datang.

“Ia juga sumber pendapatan kepada penduduk di kampung ini,” katanya kepada krew Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) ketika ditemuramah pada Khamis.

Menceritakan proses pembuatan minyak sekiu, pengusahanya Che Iman Sahdan berkata beliau turun seawal jam 6 pagi kerana perlu meredah perjalanan berperahu selama dua jam untuk sampai di tapak pokok sekiu di Hulu Sungai Jemoreng.

Jelasnya, selepas buah-buah sekiu dikumpul, ianya akan dijemur sehingga kering kemudian dipecahkan atau dalam istilah Melanau dipanggil ‘melusik’ untuk mengambil isinya yang digunakan untuk menghasilkan minyak tersebut.

Proses kemudiannya adalah menumbuk isi buah sekiu yang dikumpul dalam guni sehingga halus menggunakan pemukul kayu.

Menurut Che Iman, proses seterusnya adalah memasukkan serbuk sekiu yang sudah halus ke dalam pais dengan dilapik menggunakan daun sukai dan dicampur dengan rumput lalang tebu.

Katanya, lalang tebu tersebut bertujuan mempastikan serbuk sekiu masak semasa proses pembakaran.

Minyak sekiu akan terhasil selepas rumput lalang dicabut dan dimasukkan dalam kapisen, alat untuk menapis hingga minyak yang terhasil jernih.

Tidak dinafikan, proses penghasilan minyak sekiu memang rumit kerana ia menggunakan kaedah tradisional namun segalanya mudah kerana masyarakat di Kampung Jemoreng masih memgamalkan budaya saling bantu-membantu.

Menurut Che Iman, minyak sekiu amat digemari jika digaul dengan nasi panas lebih-lebih lagi beras uma.

Selain itu katanya, minyak sekiu juga sedap dimakan dengan sagu dan budu. – EDISI UKAS

Share

add comment