Pejabat Daerah Mukah Hantar Sampul Surat Pendaftaran Vaksin Rumah Ke Rumah

SABTU, 6 MAC 2021

MUKAH: Pejabat Daerah Mukah telah mengambil langkah proaktif untuk mendaftarkan penduduk dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan menghantar sampul surat pendaftaran vaksin dari rumah ke rumah pada Jumaat.

Penduduk yang belum mendaftar melalui aplikasi MySejahtera diminta untuk mengisi borang di dalam sampul surat yang telah diagihkan dan dihantar ke Pejabat Daerah Mukah pada 8 Mac ini.

Pemangku Pegawai Daerah Mukah, Paleadzman Ahip berkata, matlamat sasaran sekurang-kurangnya adalah 80 peratus daripada hantaran tersebut.

“Kita menggalakkan orang ramai di kawasan perumahan dan pasar di Mukah untuk berdaftar, matlamat sasaran adalah sekurang-kurangnya 80 peratus,” kata beliau.

Para pegawai dan kakitangan di Pejabat Daerah Mukah telah mengagihkan 2,300 borang meliputi 24 kawasan perumahan di bandar Mukah merangkumi 1883 borang.

Manakala, selebihnya adalah kuarters Kerajaan Negeri, kuarters Persekutuan termasuk flat PDRM, kuarters/flat di tiga buah sekolah menengah di Mukah, rumah perseorangan dan rumah sewa.

Seorang Guru di Sekolah Kebangsaan Seberang, Shamsul Kamal Maamor yang menetap di Taman Desa Ceria semasa ditemubual berkata, tindakan tersebut merupakan satu usaha yang amat baik.

“Tahniah! Satu tindakan yang amat baik. Teruskan usaha yang proaktif dan berkesan dalam memberi penerangan, kesedaran dan mendaftarkan penduduk untuk vaksin COVID-19.

“Usaha pendaftaran vaksin perlu dijalankan secara menyeluruh terutamanya di media sosial atau di kaunter-kaunter di tempat tumpuan awam,” katanya. – EDISI UKAS

Share

add comment